SALAM PERTEMUAN


SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN PMR WARGA SMASRA. DIDOAKAN ANDA BERJAYA DENGAN CEMERLANG.



http://4.bp.blogspot.com/-NM3C-HOfdL4/T1TRy8r2_ZI/AAAAAAAABHg/pOWNDqSzJUo/s1600/imtihan.jpg

24 July 2011

Hiburan Dalam Islam



Gerakan dakwah bukan hanya berperanan untuk melakukan amar makruf dan nahi munkar tetapi ia juga harus berperanan untuk mengemukakan alternatif yang lebih baik bagi mengganti satu kemunkaran dan menyelesaikan masalah manusia.

Salah satu daerah yang memerlukan alternatif dan penyelesaian dari Islam ialah daerah hiburan atau lebih khusus musik dan nyanyian.
Menghukum musik hari ini sebagai haram secara umum sahaja tidak memadai kerana hakikatnya naluri manusia secara semulajadi memerlukan hiburan sede-mikian dalam hidup.

Persoalan yang lebih penting ialah apakah alternatif bagi musik popular hari ini? Jika alternatif sedemikian wujud bagaimanakan ia dapat dimasyarakatkan kepada manusia umumnya – merentas batas bangsa, geografi, ugama dan budaya. Merentas batas-batas yang dinyatakan tadi bermaksud ia tidak hanya diterima oleh umat Islam atau bangsa Melayu sahaja tetapi juga diterima oleh bangsa-bangsa lain sebagaimana populariti rentak-rentak dan konsep musik seperti rap, rock dan blues.

Nasyid Sebagai Satu Alternatif?
Mungkin ada yang berpendapat bahawa alternatif telah pun ada iaitu musik rentak nasyid yang sebagaimana yang dipopularkan oleh Raihan, Rabbani dan pelbagai kumpulan nasyid yang lain.

Jika pandangan ini diterima, maka timbul pula persoalan bagaimana untuk menjadikan ia popular sepopular rentak-rentak dan konsep musik moden hari ini?

Jelas sekali bahawa nasyid walau pun semakin popular dibanding dahulu tetapi popularitinya terhad pada segmen tertentu dalam masyarakat iaitu di kalangan mereka yang telah mempunyai kesedaran Islam. Jika dilihat di rantau ini pula, ia hanya popular di kalangan masyarakat Melayu sahaja. Masyarakat Cina tidak mendengar nasyid. Bahkan tiada nasyid dalam bahasa Cina, India dan tidak banyak pula dalam bahasa Inggeris.

Satu aspek lagi ialah rentak nasyid hakikatnya hanyalah satu rentak dan konsep musik. Ia tidak mungkin dapat memenuhi cita rasa semua manusia. Ertinya tidak mungkin semua manusia dapat menggemari nasyid sebagai bahan hiburannya kerana manusia secara semula jadi mempunya kepelbagaian cita rasa dan selera. Oleh itu, rentak nasyid hanya sesuai menjadi salah satu rentak alternatif tetapi tidak memadai untuk menjadi satu-satunya alternatif bagi musik moden hari ini.

Menetapkan nasyid sebagai satu-satunya alternatif musik yang boleh digunapakai bagi umat Islam dan bagi pilihan manusia hanya akan menjadikan hiburan Islam terus berada dipinggiran sahaja.

Jika kita teliti musik moden hari ini kita akan dapati bahawa ia dipenuhi dengan pelbagai konsep dan rentak yang berbeza. Ini adalah disebabkan pencipta musik di Barat khususnya memahami kepelbagaian selera manusia. Setiap rentak itu diutarakan bagi memenuhi segmen-segmen tertentu dalam masyarakat. Sehingga akhirnya setiap segmen masyarakat tidak terlepas dari pengaruh musik Barat ini dengan segala nilai negatif yang dibawa olehnya.

Strategi Baru
Satu strategi bagi mengemukakan alternatif musik ialah dengan memanfaatkan lagu-lagu yang telah sedia ada dipasaran atau yang dihasilkan oleh pencipta lagu yang sedia ada.

Ini dilakukan dengan memilih lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik dan secara terancang mempopularkan lagu-lagu jenis ini. Selain itu masyarakat juga dididik untuk cenderung dan berminat kepada lagu-lagu yang mempunyai mesej yang baik dari pelbagai.

Strategi didasari pada kefahaman bahawa walau pun secara umumnya lagu-lagu hari ini banyak yang bersifat hedonisme seperti memuja wanita, mempromosi cinta bernafsu dan memaparkan akhlaq yang keji, namun tidak patut dinafikan bahawa terdapat juga lagu-lagu yang mempunyai senikata yang baik dan berirama yang menyentuh perasaan seperti lagu Wonderful World oleh Kennie G, Heal The World oleh Michael Jackson dan Perjalanan Hidup oleh Ramli Sarip.

Turut mendasari strategi ini ialah walau pun lagu-lagu berkenaan mungkin akan dipertikaikan oleh sebahagian pihak keharusannya di sisi Islam, namun ia hakikatnya adalah satu isu yang dikhilafkan oleh ulama. Mempopularkan lagu-lagu sedemikian dan mendidik masyarakat untuk cenderung kepada lagu sedemikian yang wujud dalam pelbagai bentuk dan irama sesuai dengan kepelbagaian selera manusia dilakukan sebagai satu tahap dakwah sebelum mencapai kesempurnaan yang dimahukan.

Lagu-lagu ini walau pun mungkin dikatakan sebagai ‘syubhat’ oleh setengah-setengah pihak, namun ia lebih baik dari jika masyarakat umum mendengar lagu-lagu yang jelas haramnya. Ini sejajar dengan konsep membolehkan mudarat yang lebih ringan dan prinsip tadarruj (berperingkat) dalam dakwah. Prinsip sebegini pernah digunakan oleh Imam Ibn Taimiyah untuk membiarkan askar-askar Monggol minum arak hingga mabuk kerana dalam keadaan sedemikian, askar-askar berkenaan tidak akan membunuh dan menyiksa penduduk awam.

Strategi ini dikemukakan bukan atas tujuan untuk meringankan-ringankan hukum agama dikalangan umat Islam tetapi ia dilakukan bagi memenuhi realiti masyarakat umum yang terdiri dari orang awam Islam dan masyarakat bukan Islam.
Dengan melaksanakan strategi ini, pilihan bagi alternatif kepada musik dan lagu yang merosakkan menjadi lebih banyak dan sumbernya tidak terhad dari kumpulan-kumpulan nasyid semata-mata. Ini mungkin memberi lompatan berganda (quantum leap) dalam usaha mengemukakan lagu-lagu alternatif dan mengelakkan gerakan dakwah dari reinventing the wheel.

Walau bagaimana pun, adalah diakui bahawa untuk melaksanakan strategi ini memerlukan semacam garis pandu yang meletakkan batas-batas minima dalam memilih lagu-lagu ‘halal’ untuk masyarakat umum agar ia tidak terpesong atau disalahgunakan.

Dasar-dasar Dalam Memilih Pandangan Ulama Bagi Menetapkan Batas-batas Minima
Dalam memilih pandangan ulama bagi menetapkan batas-batas minima keharusan muzik, lagu dan nyanyian dalam Islam, dasar-dasar berikut dijadikan asas.

1. Mengiktiraf bahawa ini adalah persoalan yang dikhilafkan oleh ulama.

2. Memilih pandangan ulama yang muktabar dari segi kemampuan ijtihadnya dan kekuatan tsiqah (kredibiliti) di kalangan Ahli Sunnah Wal Jamaah walau pun pandangan itu bukan pandangan yang dipegang oleh majoriti ulama atau bukan pandangan yang popular.

3. Mengambil kira bahawa sasaran utama projek ini ialah masyarakat awam secara umum tanpa kira agama dan bangsa.

4. Membezakan antara persoalan mubah, wara’ dan afdal.

5. Asal hukum bagi segala perkara yang bukan berkaitan dengan ibadat khusus dan aqidah adalah haram kecuali ada dalil yang menghalalkannya.

6. Sebagaimana niat yang baik tidak menghalalkan cara, cara yang baik juga perlu diikuti dengan niat yang betul – ikhlas.

7. Hiburan adalah harus dalam Islam. Ini didasarkan pada hadits Aisyah yang mendengar nyanyian dua gadis di rumah Rasulullah s.a.w, perbuatan para sahabat yang bernasyid semasa mengorek parit pertahanan Madinah dan perbuatan Rasulullah s.a.w yang membawa Aisyah melihat tarian hamba Habsyi.

8. Hiburan hendaklah dijadikan sebagai alat bukan matlamat. Hiburan adalah alat untuk mendidik, merihatkan diri, membina silaturrahmi dan lain-lain yang harus dan dianjurkan oleh Islam. Ini adalah kerana matlamat hidup manusia ialah untuk memperhambakan diri pada tuhan bukan untuk mempertuhankan hiburan. Kemuncaknya ialah hiburan adalah sebahagian dari ubudiyah kepada Allah taala atau jalan yang menuju pada ubudiyah.

9. Muzik, lagu dan nyanyian adalah harus dalam Islam. Walau bagaimana pun, ia tertakluk juga dengan dasar-dasar hiburan yang dinyatakan di atas.

Dasar-dasar & Batas-batas Minima Yang Boleh Ditetapkan
Berdasarkan perkara di atas, dicadangkan dasar-dasar dan batas-batas minima berikut bagi menentukan musik dan lagu ‘halal’ bagi masyarakat awam;

1. Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan oleh Allah taala atau menjurus kepada yang haram seperti:

• memuja wanita.

• mendedahkan aurat.

• menggalakkan pergaulan bebas.

• mengandungi kata-kata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan dan mempropagandakan kepercayaan agama lain.

• memuja dadah dan arak.

• mengandungi khayalan-khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta.

• menghina amalan-amalan Islam.

• memfitnah orang.

2. Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetap oleh Islam.

3. Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan prioriti dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.

4. Hiburan bukanlah alternatif pada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.

5. Hiburan hendaklah menjauhi dari unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlaq rendah kerana Islam sentiasa menuntut umatnya agar menyalahi amalan penganut agama lain dan menjauhi dari dikaitan dengan akhlaq-akhlaq yang keji. Ini dapat dilihat dari larangan bersolat selepas solat Subuh dan selepas Asar kerana menjauhi amalan penyembah matahari dan amalan berpuasa sembilan dan sepuluh Muharram kerana menyalahi amalan orang Yahudi yang berpuasa pada sepuluh Muharram sahaja.

Sebagai contoh ialah berambut panjang. Walau pun tiada dalil khusus yang melarang orang lelaki berambut panjang tetapi oleh kerana ia telah menjadi simbol para penyanyi Rok yang dikeji oleh Islam maka ia perlu ditinggalkan.

6. Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan yang lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.

7. Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.

8. Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.

9. Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal ia membawa pada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha.

10. Begitu juga lagu-lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.





No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

RENUNGILAH